EYMAN HYKAL atau nama sebenar Norden Mohamed, dilahirkan di Mersing, Johor pada tahun 1957. Setelah menamatkan pelajaran sekolah di Sekolah Menengah Sri Mersing, beliau melanjutkan pelajaran di ITM (kini UiTM) dalam bidang Senireka Perusahaan.
Mempunyai latar belakang kerjaya yang berwarna-warni, Eyman pernah bertugas dalam NGO, Jabatan Kerajaan, swasta dan juga pernah berniaga sendiri. Kerjaya awalnya bermula di Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung sebagai Setiausaha Kerja. Kemudiannya beliau bertugas di dalam jabatan kerajaan sebagai Jurulatih dan Pegawai Latihan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Tanah dan Kemajuan Wilayah dan Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri.
Dalam sektor swasta, Eyman Hykal pernah menjawat jawatan sebagai Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pengurus Projek, Pengurus Latihan, Pengurus Pemasaran dan juga Pengurus Sumber Manusia. Tugas-tugas tersebut dijawatnya dalam pelbagai syarikat seperti IPTS, Syarikat Perunding, Periklanan dan Penerbitan. Beliau juga pernah menceburi bidang perniagaan sutera saring.
Sebagai Norden Mohamed, kariernya di Kumpulan Media Karangkraf adalah paling lama. Beliau menyertai syarikat ini sebagai Editor majalah humor Gelihati pada tahun 1991. Kemudian beliau ditugaskan sebagai Pengurus Pemasaran Kumpulan, Pengurus Latihan, Pengurus Sumber Manusia, Pengurus Besar syarikat buku Alaf 21 dan sejak 2010 menjadi Ketua Pengarang akhbar Sinar Harian. Kini, beliau menulis kolum mingguan Maaf Cakap di akhbar itu.
Hobi utama beliau ialah membaca. Eyman mengamalkan tabiat membaca sebuah buku sebulan. Beliau membaca apa jua bahan terutamanya psikologi, agama, perniagaan, falsafah, pengiklanan, pemasaran, komik dan tentunya novel. Hampir kesemua buku yang dibacanya pula diulangbaca sekurang-kurangnya sekali.
Kata-kata hikmatnya ialah, “Don’t be Jack of all trades and a master of none, BUT BE, Jack of all trades and a master of one!”



